Sebagai manusia, kita pasti diuji Allah SWT dan ia juga berlaku ke atas junjungan besar kita, Rasulullah SAW walaupun diketahui bahawa baginda seorang yang maksum iaitu bersih daripada dosa.
Malah, dinyatakan juga bahawa Firaun yang mengaku dirinya tuhan akhirnya tewas dengan ujian Allah dan mati dalam kekufuran.
Perlu kita ingatkan diri, ujian yang kita hadapi dengan penuh kesabaran itu sebenarnya untuk memantapkan iman dan keyakinan seseorang terhadap Allah SWT.
Namun hendaklah kita sedari, walaupun ujian itu bagi memantapkan iman dan keyakinan kepada-Nya, adalah salah jika kita memohon kepada-Nya supaya diberikan ujian.
Ia tidak dianjurkan dalam Islam dan sebagai contoh, Rasulullah SAW sentiasa memohon kepada Allah supaya dilindungi daripada bencana dan musibah.
Yang penting, kita hendaklah memohon perkara baik dan bersabar dengan ujian diberikan-Nya. Sabar itu sifat yang sangat penting dan perlu ada dalam diri umat Islam.
Di dalam al-Quran, banyak disebut mengenai sifat sabar seperti diperjelaskan dalam surah al-Baqarah, ayat 153 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” Sifat sabar turut disebut acap kali dalam hadis Rasulullah SAW, antaranya seperti diriwayatkan Abu Naim dan Kahtib yang bermaksud: “Sabar sebahagian daripada iman.” Jika kita diuji dengan ujian yang sangat berat untuk dipikul, jangan bersungut, sebaliknya hadapilah ia dengan penuh tawakal dan kesabaran. Ini kerana jika kita berjaya menempuhi ujian itu, akhirnya kita akan mengecapi kenikmatan di sebalik ujian itu yang juga diberikan dalam pelbagai bentuk.
Imam al-Ghazali menyatakan, jika ditimpa musibah, ada lima cara bagaimana seseorang itu perlu berdepan ujian supaya tidak kecundang.
Imam Al-Ghazali menyebut, bahawasanya: Setiap kemiskinan, kesakitan, ketakutan dan semua bencana di dunia ini, di dalamnya ada lima perkara yang patut dijadikan bahan untuk bergembira bagi setiap orang yang berakal, bahkan perlu sama sekali untuk disyukuri kerana ia dapat dianggap sebagai kenikmatan.
Pertama: Jika menerima musibah atau ujian yang terlalu besar dan berat bagi dirinya, seseorang itu perlu bayangkan bahawa ada ujian lebih besar dan lebih teruk menimpa orang lain berbanding apa dialaminya.
Sedarilah bahawa setiap sesuatu itu dalam kekuasaan Allah. Jadi, bayangkan bagaimana jika bencana atau sakitnya dilipatgandakan Allah SWT, dan adakah kita akan dapat menolak atau menghalangnya.
Oleh yang demikian, seseorang itu perlu bersyukur kepada Allah kerana Dia tidak menguji kita dengan ujian lebih berat, lebih parah dan lebih menyedihkan di dunia ini.
Jika semuanya ditangani dengan kesabaran, pahalanya akan berlipat ganda, sedangkan keburukannya dapat dikurangkan berkat kesabaran ketika menerima ujian.
Kedua: Datangnya bencana itu mungkin sekali sebagai musibah kerana kekurangan taatnya dalam agama.
Dalam beberapa hadis, dinyatakan doa diajar Nabi Isa AS bermaksud: “Ya Allah, jangan menjadikan musibah kami ini disebabkan oleh kelalaian kami dalam mengerjakan agama.” Jadi, doa ini boleh ambil dan kita amalkan dalam kehidupan kita.
Ketiga: Takutilah jika musibah itu menimpa secara berterusan di dunia hingga akhirat. Oleh itu, terimalah ujian itu dengan sabar kerana lebih baik diseksa di dunia saja dengan harapan semoga Allah tidak melanjutkan ujian itu hingga semua makhluk dihidupkan semula di akhirat.
Ujian diberi Allah SWT masih dapat diringankan dengan melakukan hal lain berbanding perihal sewaktu akhirat.
Jika Allah memberikan azabnya di akhirat, pasti kita tidak dapat lari daripada melakukan pekerjaan lain kerana azab yang diberikan oleh-Nya pasti secara berterusan.
Oleh itu, bersabar dengan ujian Allah sewaktu di dunia dengan berharap ia sebagai seksaan yang disegerakan oleh-Nya sebagai pengganti seksaan di akhirat.
Bersyukurlah kerana musibah dan azab yang kita terima menyelamatkan kita daripada seksaan di akhirat.
Keempat: Setiap bencana atau musibah ditentukan secara pasti dan tercatat tanpa ada kuasa mampu mengubahnya selain Allah SWT.
Ketentuan dan catatan itu ada sejak azali di Ummul-kitab (buku amalan) yang ada di sisi Allah SWT dan tetap perlu ditempuh oleh seseorang itu.
Jika seseorang itu menghadapi ujian yang ditetapkan Allah, bersyukurlah dengan berdoa tanpa jemu kepada Allah SWT.
Ingatkan diri bahawa apabila ujian itu berakhir, dia terlepas juga daripada bencana.
Kelima: Ketahuilah bahawa pahala diterima seseorang lebih besar sewaktu mereka ditimpa musibah.
Ingatlah, ujian yang diterima bukan beban, sebaliknya nikmat bagi manusia sebagai bekalan di akhirat. Musibah itu hanya sebagai ubat pahit yang harus ditelan bagi memberi kebaikan pada masa depan.
Inilah lima cara bagaimana seseorang itu harus mengatasi musibah yang mendatang, sekali gus bersyukur dengan ujian diberi Allah SWT.
Jika disingkap nas atau dalil al-Quran, secara nyata banyak diterangkan bahawa mereka yang sabar menerima ujian di dunia akan mendapat pahala.
Sekalipun kita tahu betapa besarnya pahala orang yang sabar memperoleh ujian dan musibah, jangan sekali-kali meminta Allah memberikan kita musibah kerana ia bertentangan dengan agama Islam.
Rasulullah SAW yang mengetahui nikmat tersembunyi di sebalik musibah juga tetap memohon kepada Allah dalam doanya supaya dilindungi daripada bencana dunia dan akhirat.
Hadis riwayat Ibnu Majah dan Nasaie menyatakan bahawasanya: “Mintalah kamu semua kepada Allah akan kesihatan (keselamatan daripada musibah), kerana tidak seorang yang diberi kurnia oleh Allah yang lebih daripada itu, melainkan keyakinan.” Yang dimaksudkan dengan keyakinan (keimanan) ialah keselamatan hati daripada segala macam penyakitnya seperti gelisah. Ini kerana keselamatan hati lebih utama daripada keselamatan tubuh badan.
No comments:
Post a Comment