30 January 2011

Hasad dan Dengki

"Hindarilah sifat dengki kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering." (HR Bukhari dan Muslim)

Betapa indahnya hidup yang Allah swt anugerahkan buat hamba-hambaNya yang beriman kerana tidak ada satu gerakan hati dan fizikal pun yang berakhir dengan sia-sia. Semuanya bermakna.

Sungguh rugi mereka yang tidak mampu memahami indahnya hidup dalam persaudaraan iman.

1. Ada kebencian dalam hati.

2. Ada permusuhan dalam diri.

3. Ada dengki yang tiba-tiba mendominasi.

Ada Pembangkangan Di Sebalik Dengki

Jika diteliti sekilas lalu, dengki menunjukkan wujudnya ketidakberesan antara seseorang dengan orang-orang tertentu.


Kesan itu sedemikian kuatnya terutama dari para pelaku dengki bahkan mungkin ia pun tidak sedar kalau dirinya sedang dengki. Padahal, dengki bukan hanya urusan antara manusia melainkan juga dengan Allah swt.

Inilah yang tidak disedari oleh para pendengki. Tanpa sedar, orang yang dengki sebenarnya sedang menafikan sebuah kebijaksanaan Yang Maha Bijaksana. Ia tidak puas dengan turunnya nikmat Allah kepada orang tertentu. Seolah-olah ia ingin mengajukan protes kepada Allah swt.,

"Kenapa mesti dia yang dapat nikmat, bukan saya!"

Rasulullah saw menggambarkan perkara ini dalam sebuah hadits :

"Sesungguhnya pada nikmat Allah Ta'ala itu terdapat musuh-musuh. Baginda ditanya, "Siapakah musuh-musuh itu, ya Rasulullah?" Baginda menjawab, "Mereka ialah orang-orang yang dengki terhadap orang lain atas anugerah yang diberikan oleh Allah."

Jadi, seorang yang sedang dengki sebenarnya bukan sekadar melakukan kesalahan terhadap rakan, saudara atau sesiapa pun yang ia kenali.
Ketika dengki itu mulai berkobar, ia sebenarnya sedang melakukan pembangkangan terhadap kebijaksanaan Allah swt.

Ada Kerisauan Yang Tidak Putus Bersama Dengki

Salah satu kunci bahagianya sebuah kehidupan adalah lahirnya ketenangan dalam hati. Ketenangan inilah yang menjadikan aliran darah normal. Jantung tidak berdenyut secara mendadak. Dari situ, fikiran terasa segar, fizikal tidak lagi sibuk melawan bermacam penyakit.

Inilah di antara ciri khas peribadi seorang mukmin, "(Iaitu) Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram." (QS Ar-Ra'd : 28)

Namun, ketika dengki menyelinap ke dalam hati, suasana menjadi lain. Ada hembusan panas yang tiba-tiba mengepung hati.

Seorang ulama hadits, Abu Laits pernah mengatakan,

"Tiada sesuatu yang lebih jahat daripada dengki. Seorang pendengki akan terkena empat bencana sebelum dengkinya berhasil, iaitu

1. Risau hati yang tidak putus-putus

2. Musibah yang tidak berpahala

3. Tercela yang tidak baik

4. Murka Allah swt

Seorang hamba Allah sebenarnya sudah teramat sibuk dengan urusan peribadinya mahupun urusan keimanan, kesihatan, pendidikan, ekonomi, dakwah, keluarga dan umat. Semua urusan itu silih berganti mengambil perhatian dan kesibukannya.

Bayangkan, jika urusan peribadi itu ditambah dengan dengki. Terlebih pula jika dengki yang lahir bukan pada satu orang tapi pada beberapa orang. Tentu akan ada beban yang teramat berat buat fikiran dan emosi pendengki dan beban itu akan menumpukkan kegelisahan yang tidak pernah habis.

Ada Kesia-siaan Setelah Dengki

Setiap hamba Allah menginginkan semua amalnya bernilai tinggi. Ada tabungan pahala untuk hari pembalasan namun tidak semua hamba Allah menyedari jika suatu ketika amalnya berkurangan secara drastik dengan satu sebab dan sebab itu adalah kesibukan dengki yang tidak pernah selesai. Rasulullah saw mengingatkan perkara ini seperti yang tercatat pada hadits di permulaan tadi.

Ada kesia-siaan yang diperolehi oleh para pendengki. Tanpa sedar, amalnya terus berkurang dan berkurang berkadaran dengan kedengkiannya. Pengorbanannya di jalan dakwah menjadi tidak bererti. Susah payah ibadahnya menjadi tidak berpahala, Nau'dzubillahi Min Dzaalik.

Ada Hawa Permusuhan Dalam Dengki

Ada ciri khusus seorang mukmin dalam interaksinya dengan sesama mukmin. Itulah yang digambarkan oleh Rasulullah saw dalam sebuah hadits.

Beliau saw bersabda, "Tidak beriman seorang dari kamu sehingga dia mencintai segala sesuatu bagi saudaranya yang dia cintai bagi dirinya." (HR Al-Bukhari)

Kadang-kadang, ciri tersebut hilang bersamaan dengan munculnya dengki. Ia tidak lagi sedar bahwa seorang mukmin mempunyai ciri cinta. Lebih menyedihkan lagi bahwa ia tidak lagi berhak menyandang posisi istimewa sebagai orang yang beriman.

Dengki bukan hanya melepas jalinan cinta antara sesama mukmin. Lebih dari itu, dengki memunculkan hawa permusuhan.

Ada jarak batin ketika dua hamba Allah yang dijangkiti dengki itu bertemu. Tatapan antara keduanya menjadi sebuah kecurigaan dan senyum menjadi sesuatu yang hambar.

Bahkan, panasnya permusuhan begitu terasa hanya kerana nama orang yang didengki tersebut disebut orang. Lebih-lebih lagi ketika penyebutan berkenaan dengan keistimewaan atau kemuliaan orang itu di mana dengki itu terus memainkan peranan menggiring hati dan fikiran secara optimum bagi mengolah reaksi terhadapnya.

Ketika itu, tidak ada setitik kebaikan pun terlihat dari kacamata dengki. Semuanya buruk.

Imam Ibnu Sirin pernah berkata :

"Aku tidak dengki dengan seseorang ke atas sesuatu yang berkaitan dengan dunia, kerana jika dia di kalangan ahli Syurga maka bagaimana aku dengki terhadapnya sedangkan ianya berkaitan dengan urusan dunia dan dia sedang menuju ke Syurga. Jika dia di kalangan ahli Neraka maka bagaimana aku dengki terhadapnya sedangkan ianya berkaitan dengan urusan dunia lantas dia sedang melalui jalan ke Neraka. Iblis telah berkata kepada Nuh as, `janganlah kamu sesekali berdengki, sesungguhnya ianya telah menjadikan aku seperti sekarang ini.'"

Alangkah indahnya hidup tanpa dengki. Siang memberi kekuatan fizikal untuk giat berkarya manakala malam pula mententeramkan hati untuk lelap beristirehat.

Sungguh indah nasihat Rasulullah saw buat generasi penerus :

"Janganlah kamu saling mendengki, saling memfitnah (untuk suatu persaingan yang tidak sehat), saling membenci, saling memusuhi dan jangan pula saling mengikat transaksi orang lain. Jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara muslimnya yang lain, ia tidak menzaliminya, tidak mempermalukannya, tidak mendustakannya dan tidak pula memperlecehkannya. Taqwa tempatnya adalah di sini –seraya Nabi saw menunjuk ke dadanya tiga kali." (HR Muslim)

Fitnah dalam hadis di atas merupakan salah satu cara yang digunakan oleh para pendengki dan ia menyerupai sihir kerana ianya mampu menceraikan rasa cinta di antara dua orang sahabat dan mengubahnya menjadi permusuhan dengan cara yang sangat halus dan menipu.

Fitnah mampu merosakkan jati diri orang-orang yang jujur seperti kegelapan malam yang boleh menyesatkan orang yang tengah berjalan di kegelapan itu.

Tidak mudah bagi seseorang untuk berhati-hati agar tidak terkena fitnah apabila ia disebarkan kerana seringkali ucapan dari para penyebar fitnah kelihatan benar sehingga amat sukar untuk didustakan.

Oleh itu kita memerlukan kekuatan yang lebih besar dari kekuatan diri kita sendiri iaitu kekuatan Allah swt. Sayugianya kita memohon perlindungan dari Allah swt dari bahaya dengki dan para pendengki sebagaimana yang diajar oleh Allah dalam ayat berikut :

"Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia mendengki." (QS Al Falaq : 5)

1. Siapakah berani menikam orang yang meminta perlindungan kepada Allah swt?

2. Siapakah berani menghiris jiwa orang yang memohon penjagaan Allah swt?

3. Siapakah berani menuang racun ke dalam minuman seorang hamba yang dekat dan rapat dengan Tuhannya?

4. Siapakah yang berani sedangkan Allah swt bersama kita?

Begitulah kekuatan surah Al-Falaq yang menggambarkan kekuatan Allah swt, Tuhan Yang Maha Gagah Perkasa.

Berikut adalah beberapa tips yang boleh kita lakukan sebagai mujahadah terhadap dengki :

1. Setiap kali orang yang kita dengki mendapat kejayaan, maka kita ucapkan selamat kepadanya dan sebaliknya apabila dia tertimpa kesusahan maka kita menumpang sedih juga atas apa yang menimpanya serta menghiburkannya.

2. Sanjung, sebut dan pujilah kebaikan serta keistimewaan orang yang kita dengki di belakang dia dan kalau ada keburukannya kita rahsiakan. Doakan kebaikan untuknya.

3. Sering-seringlah bersilaturahim serta memberi hadiah kepada orang yang kita dengki tersebut.

4. Kalau ada orang yang berusaha menjatuhkan orang yang kita dengki itu, berusahalah untuk membelanya. Jangan melayani syaitan yang hendak merosakkan mujahadah kita dengan mendorong kita untuk ikut mengumpatnya.

5. Berdoa kepada Allah agar dimudahkan usaha untuk membuang penyakit dengki yang ada dalam diri kita.

Ya Allah, kami memohon perlindunganMu dari kejahatan orang yang dengki apabila ia mendengki. Cabutkanlah dari dalam hati kami hembusan panas dan hawa permusuhan yang diakibatkan oleh rasa irihati dan dengki kerana sesungguhnya ianya berasal dari hembusan syaitan. Selamatkanlah hamba-hambaMu yang ikhlas dan jujur dari kejahatan dengki serta teguhkanlah iman dan kesabaran kami dalam menghadapi mehnah dan fitnah hasil dari kedengkian manusia.

Ameen Ya Rabbal Alameen

No comments:

Post a Comment