Suatu hari Rasulullah saw menemui puterinya Fatimah Az-zahra. Didapati puterinya sedang menggiling syair (sejenis padi-padian) dengan menggunakan batu penggiling tangan sambil menangis. Rasulullah bertanya Fatimah, “Apa yang menyebabkan engkau menangis wahai Fatimah? Semoga Allah SWT tidak menyebabkan matamu menangis”.
Fatimah berkata, “Ayahanda, batu giling ini dan urusan-urusan rumah tanggalah yang menyebabkan anakanda menangis”. Lalu duduklah Rasulullah saw di sisi Fatimah. Fatimah berkata, “Ayahanda sudikah kiranya ayahanda meminta Ali (suaminya) mencarikan anakanda seorang hamba untuk menolong anakanda menggiling gandum dan pekerjaan lain di rumah”.
Mendengar perkataan puterinya, lalu baginda bangun mendekati batu penggiling itu. Baginda mengambil syair dengan tangannya yang mulia dan diletakkannya di dalam batu penggiling tersebut sambil membaca, “Bismillaahirrahmaanirrahiim”. Batu penggiling tersebut berputar dengan sendirinya dengan izin Allah SWT. Rasulullah meletakkan syair ke dalam batu giling tersebut sambil bertasbih kepada Allah SWT sehingga habislah butir-butir syair itu digilingnya.
Rasulullah berkata kepada gilingan tersebut, “Berhentilah berputar dengan izin Allah SWT.” Maka ia pun berhenti. Dengan izin Allah SWT batu itu berkata, “Ya Rasulullah, demi Allah Tuhan yang telah menjadikan baginda dengan kebenaran sebagai Nabi dan Rasul-Nya, kalaulah baginda menyuruh hamba menggiling syair dari Masyriq dan Maghrib nescaya hamba gilingkan semuanya. Sesungguhnya hamba telah mendengar dalam kitab Allah SWT suatu ayat yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya para malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang dititahkan-Nya kepada mereka dan mereka mengerjakan apa yang dititahkan”. Maka hamba takut, ya Rasulullah kelak hamba menjadi batu yang masuk ke dalam neraka.
Rasulullah saw kemudian bersabda kepada batu tersebut, “Bergembiralah kerana engkau adalah salah satu dari batu mahligai Fatimah Az-zahra di dalam syurga”. Gembiralah batu tersebut mendengar berita itu.
Rasulullah saw berkata kepada puterinya, “Jika Allah SWT menghendaki wahai Fatimah, pasti batu itu berputar dengan sendirinya untukmu. Akan tetapi Allah SWT mahu memberikanmu beberapa kebaikan dan menghapuskan beberapa kesalahanmu dan mengangkatku ke darjat yang tinggi. Ya Fatimah, perempuan mana yang menggiling tepung untuk suami dan anak-anaknya, maka Allah SWT menuliskan untuknya dari setiap biji gandum yang digilingnya satu kebaikan dan mengangkatnya ke satu darjat.
Ya Fatimah, perempuan mana yang meminyakkan rambut anak-anaknya, menyisir rambut mereka dan mencuci pakaian mereka maka Allah SWT akan mencatat baginya ganjaran pahala orang yang memberi makan kepada seribu orang yang lapar dan memberi pakaian kepada seribu orang miskin. Ya Fatimah, perempuan mana yang menghalangi hajat tetangganya maka Allah SWT akan menghalangnya dari meminum air telaga Kautsar pada hari kiamat.
Ya Fatimah, yang lebih utama dari semua itu adalah keredaan suami terhadap isterinya. Jika suamimu tidak reda denganmu tidaklah akan aku mendoakanmu. Tidaklah engkau ketahui wahai Fatimah bahawa reda suami itu daripada Allah SWT dan kemarahannya juga dari kemarahan-Nya?
Ya Fatimah, apabila seorang wanita mengandung janin dalam rahimnya maka beristighfarlah para malaikat untuknya dan Allah SWT akan mencatatkan baginya tiap-tiap hari seribu kebaikan dan menghapuskan seribu kejahatan.
Apabila ia mulai sakit hendak melahirkan maka Allah SWT mencatatkan untuknya pahala orang-orang yang berjihad pada jalan Allah. Apabila dia melahirkan anak maka keluarlah ia dari dosa-dosanya seperti keadaannya pada hari ibunya melahirkannya dan apabila ia meninggal tiadalah ia meninggalkan dunia ini dalam keadaan berdosa sedikitpun, dan kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga, dan Allah SWT akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji dan seribu umrah serta beristighfarlah untuknya seribu malaikat hingga hari kiamat.
Perempuan mana yang melayani suaminya dalam sehari semalam dengan baik hati dan ikhlas serta niat yang benar maka Allah SWT akan mengampuni dosa-dosanya dan Allah SWT akan memakaikannya sepersalinan pakaian yang hijau dan dicatatkan untuknya dari setiap helai bulu dan rambut yang ada pada tubuhnya seribu kebaikan. Ya Fatimah, perempuan mana yang tersenyum di hadapan suaminya maka Allah SWT akan memandangnya dengan pandangan rahmat. Perempuan mana yang menghamparkan hamparan atau tempat untuk berbaring atau menghias rumah untuk suaminya dengan baik hati maka berserulah untuknya malaikat, “Teruskanlah amalmu maka Allah SWT telah mengampuni dari dosamu yang lalu dan dosa akan datang”.
Rasulullah berkata lagi, “Ya Fatimah, perempuan mana yang meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong kumisnya serta menggunting kukunya maka Allah SWT akan memberinya minuman dari sungai-sungai syurga dan meringankan sakaratulmautnya, dan akan didapati kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta Allah SWT akan menyelamatkannya dari api neraka dan selamatlah ia melintas di atas titian Sirat”.
p/s: ikhlas kerana Allah..rebutlah peluang emas ini untuk mengejar pahala..
No comments:
Post a Comment