Untuk menjamin kelahiran sebuah keluarga yang harmoni, pembinaan sebuah keluarga mesti dibina di atas asas yang betul dan tepat bermula daripada objektif dan seterusnya langkah-langkah pembinaan tunggak dan binaannya. Islam telah menetapkan beberapa objektif sesebuah perkahwinan sebagai langkah awal pembinaan sebuah kelurga yang harmoni. Di antaranya untuk meneruskan kesinambungan zuriat manusia, menjaga kehormatan diri dengan melampiaskan nafsu ke tempat yang halal dan mendapatkan ketenangan dalam kehidupan.
Perhubungan suci antara lelaki dan perempuan dengan cara yang halal yang dikenali sebagai perkahwinan ialah satu-satunya cara yang bersih dan suci untuk menjamin kesinambungan zuriat manusia. Allah telah berfirman yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kamu kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dari jiwa yang satu. Dia menjadikan daripada dirinya pasangannya. Dia telah memancarkan dari kedua-duanya lelaki yang ramai dan juga perempuan (Al Nisa': 1). Allah telah menciptakan Adam sebagai manusia pertama. Seterusnya dicipta pula Hawa untuk menjadi pasangannya. Seterusnya menerusi hubungan jenis antara kedua-dua lahirlah zuriat manusia, lelaki dan perempuan yang akhirnya membentuk berbagai bangsa dan keturunan. Kelahiran zuriat dalam suasana ikatan keluarga ini akan melahirkan manusia yang mendapat kasih sayang yang cukup. Kasih sayang dan kemesraan ini sudah cukup untuk membentuk emosi dan jiwanya untuk menjadi seorang insan yang berjiwa tenang dan baik.
Di samping itu zuriat yang lahir ini pasti mendapat jaminan nafkah yang amat penting untuk pertumbuhan fizikal yang sihat dan seimbang. Kesepaduan antara nafkah batin menerusi kasih sayang dan nafkah zahir menerusi makan dan minum serta keperluan hidup harian ini pasti mampu memberikan satu suasana hidup yang ceria dan menggembirakan bagi seorang anak. Akhirnya pasti lahir generasi yang baik dan berakhlak terpuji.
Zuriat manusia juga dapat diteruskan menerusi hubungan yang tidak halal. Tetapi ia pasti akan mengundang pelbagai masalah sosial dalam masyarakat. Di antaranya kelahiran seorang kanak-kanak yang tidak mempunyai perlindungan sebuah keluarga kerana ibunya dan bapanya tidak mempunyai satu ikatan untuk hidup bersama di bawah satu bumbung. Si anak tidak mendapat jaminan nafkah dari si bapa kerana kemungkinan si bapa tidak mengakui benihnya. Si kecil ini juga pasti hidup dalam keadaan kekurangan kasih sayang kerana hanya mempunyai ibu tanpa bapa. Tekanan emosi dan perasaan sepanjang kehidupan kanak-kanaknya bakal membentuk jiwanya menjadi seorang yang benci kepada masyarakat sekeliling.
Kelahiran zuriat merupakan matlamat utama sesebuah perkahwinan. Justeru itulah baginda menganjurkan agar dikahwini perempuan yang subur yang mampu melahirkan anak yang ramai kerana baginda akan berbangga dengan jumlah umatnya yang ramai pada hari Qiamat. Perkara ini dijelaskan oleh baginda menerusi hadisnya yang bermaksud: Kahwinilah wanita yang boleh beranak ramai serta bersifat penyayang. Sesungguhnya aku pasti berbangga dengan ramainya kamu di hadapan umat manusia yang lain pada hari Qiamat. Kemampuan seseorang wanita untuk melahirkan anak yang ramai dapat dinilai secara umumnya menerusi jumlah adik-beradiknya atau adik beradik ibu atau bapanya.
Masyarakat barat hari ini meletakkan keseronokan adalah matlamat utama kehidupan. Perkara ini telah dijelaskan oleh al Quran yang bermaksud: Dan mereka yang kufur berseronok dan makan minum seperti mana binatang ternakan makan dan minum dan neraka pasti menjadi tempat perlindungan mereka (Muhammad : 12). Kemuncak keseronokan dan kenikmatan hidup bagi mereka adalah menerusi hubungan seks antara lelaki dan perempuan. Kebanyakan mereka lebih suka mendapatkan kenikmatan hubungan jenis menerusi seks bebas tanpa ikatan tali perkahwinan. Bagi mereka perkahwinan hanya akan membataskan pergerakan mereka dan meletakkan mereka di bawah satu tanggungjawab yang hanya akan membebankan mereka dan mengikat mereka dengan seseorang.
Bagi yang memilih cara yang lebih bersih menerusi perkahwinan juga meletakkan keseronokan dan kenikmatan sebagai matlamat utama perkahwinan. Justeru kelahiran bayi hanya akan mengganggu hubungan mereka dan membataskan kenikmatan seks mereka. Lantaran itu mereka melakukan pelbagai cara untuk menyekat kehamilan berlaku. Atau sekurang-kurangnya mencadangkan perancangan keluarga dengan menjarakkan anak atau menghadkan bilangan anak yang akan diperolehi.
Di antara matlamat perkahwinan juga ialah menjaga kehormatan diri dengan melampiaskan nafsu ke tempat yang bersih dan halal. Setiap manusia pasti mempunyai keinginan untuk mempunyai pasangan yang boleh memberi kepuasan kepada nafsu seksnya. Ia mempunyai dua pilihan. Sama ada melepaskan keinginannya dengan cara yang dapat diterima oleh tata susila masyarakat manusia yang normal iaitu menerusi perkahwinan yang sah atau sebaliknya. Cara kedua pasti mengundang perbagai permasalahan sosial dengan kelahiran bayi yang tidak mempunyai jaminan kehidupan di bawah bumbung satu keluarga. Di samping penyakit-penyakit fizikal yang mungkin lahir hasil hubungan seks rambang seperti aids, siplis dan lain-lainnya.
Justeru baginda memberikan satu pedoman untuk orang muda dengan sabdanya: "Wahai sekelian pemuda! Sesiapa yang mempunyai kemampuan hendaklah berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu lebih menjaga mata kamu dan lebih memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu pula hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu menjadi benteng kepadanya (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Perkahwinan dalam Islam diasaskan untuk melahirkan satu suasana aman dan damai dalam kehidupan menerusi hubungan kasih sayang yang intim antara lelaki dan perempuan. Perkara ini telah diisyaratkan oleh Allah menerusi firmannya yang bermaksud: "Dan di antara tanda kekuasaannya ialah menjadikan untuk kamu dari diri kamu sendiri pasanganpasangan untuk kamu menenangkan diri kamu kepadanya, dan Dia menjadikan antara kamu perasaan kasih-sayang dan kasihan belas" (Ar-Rum : 21).
Kasih sayang yang sebenar hanya dapat diabadikan menerusi sebuah perkahwinan. Kasih sayang ini diikat dengan simpulan kata yang amat kukuh yang telah dimenterai di hadapan saksi-saksi yang dipercayai. Kasih sayang itu diiringi dengan perbagai tanggungjawab. Si suami bertanggung jawab memberikan nafkah dan melindungi isterinya. Si isteri pula diikat dengan ketaatan dan tanggungjawab menjaga kehormatan diri dan suami. Firman Allah yang bermaksud: Lelaki-lelaki merupakan tunggak kepada wanita-wanita kerana nafkah yang diberikan menerusi harta-harta mereka. Maka wanita yang baik pula ialah yang taat, menjaga kemaluan di kala ketiadaan suami menerusi apa yang disuruh oleh Allah menjaganya - (An Nisa' : 34).
Sebuah keluarga yang damai juga pasti berjaya memberikan ketenangan kepada ahlinya. Sebarang masalah kehidupan dapat dibincangkan bersama dan berusaha untuk mendapatkan jalan penyelesaiannya. Kemesraan yang wujud sudah cukup untuk memberikan ketenangan awal bagi jiwa yang sedang berkecamuk. Senyuman manis dan tawa ria pasti berjaya meruntuhkan gunung masalah yang dihadapi. Itulah nikmat sebuah perkahwinan. Firman Allah yang bermaksud: "mereka (isteri-isteri kamu) merupakan pakaian (ketenangan) bagi kamu, dan kamu juga merupakan pakaian (ketenangan) bagi mereka" (Al-Baqarah : 187).
Perkataan "pakaian" dalam ayat di atas menggambarkan bentuk hubungan antara pasangan suami isteri. Sehelai pakaian mempunyai perbagai fungsi, antaranya menjadi penutup yang melindungi aib dibadan, pelindung dari panas, ketenangan kepada jasad dan perhiasan bagi badan. Begitulah gambaran hubungan suami isteri. Begitulah pasangan suami isteri saling berusaha menutup aib dan kekurangan pasangannya, menjadi pelindung dari mara bahaya serta menjadi hiasan untuk hati pasangannya. Hasil dari itu lahirlah hubungan mesra yang diikat dengan tali kasih yang pasti sukar untuk dirungkai kembali.
Kebanyakan masyarakat barat hari ini membina cinta mereka di atas dasar yang rapuh iaitu hubungan seks semata-mata. Ia adalah cinta palsu yang hanya didorong oleh keinginan nafsu seks semata-mata. Cinta itu akan lupus di kala kepuasan seks dari pasangan tidak dapat dinikmati. Cintanya pasti beralih kepada lelaki dan wanita yang lain yang dirasakan boleh memberikan kepuasan yang lebih. Malah cinta itu tidak menghalang seseorang lelaki dan wanita melakukan hubungan jenis dengan lelaki atau wanita lain pada masa yang sama.
Justeru sesebuah keluarga yang ingin dibentuk perlu mengambil kira tiga matlamat asasi agar lahir sebuah keluarga Islam yang harmoni yang akhirnya membentuk sebuah masyarakat yang damai dan tenang.
No comments:
Post a Comment