20 October 2010

Kisah memori pilu seorang ibu

Ada satu kisah untuk dikongsi bersama..Ada dua wanita yg benar2 tabah pernah saya kenali di HUSM.saya pernah kongsikan dlm blog ini mengenai seorang auntie yang memberi nasihat dan semangat buat saya.Seorang lagi adalah Puan rahimah,saya benar2 kagum dgn semangat beliau.beliau pernah menasihati saya untuk tabah menghadapi dan melawan kesakitan.ketika itu saya mula2 tak dapat berjalan.saya sering menangis sendirian di atas katil hospital...Puan Rahimah memberi nasihat,semangat dan satu contoh pada saya agar saya kuat untuk bertahan..

Sesungguhnya kekuatan itu datangnya dari pelbagai segi.Diari Umi untuk Rafiqah,byk menyedarkan saya untuk memperkuatkan diri dalam melawan penyakit.Tabahla menghadapi dugaan ini kerana lebih ramai lagi yang lebih derita.doa,semangat dan kekuatan dalaman diri amat penting..


Memori pilu seorang ibu

Pengalaman Rahimah Latiff menjaga anak gadisnya yang menghidap ketumbuhan otak dikongsi dalam sebuah novel yang berjudul Diari Ummi Untuk Rafiqah.


RAHIMAH (kanan) berkongsi pengalaman menjaga anak yang menghidap ketumbuhan otak menerusi sebuah novel.


MENGIKUT kiraan doktor, Tengku Intan Rafiqah Tengku Mohd. Ali, 17, sudah tidak sepatutnya hidup lagi pada hari ini ekoran ketumbuhan pada otak yang dihidapinya.

Sehinggakan pada satu peringkat, keluarga anak gadis itu hanya mampu berserah kepada Tuhan agar Tengku Intan Rafiqah diberikan kekuatan untuk terus bertahan.

Bagi ibunya, Rahimah Latiff, 57, kata-kata doktor lima tahun lalu ketika mengesahkan ketumbuhan pada otak anaknya masih terngiang-ngiang di telinganya.

"Ada sesuatu di dalam kepalanya." Demikian penjelasan doktor mengenai hasil ujian imbasan yang dilakukan ke atas Tengku Intan Rafiqah pada 24 Disember 2004.

Berita itu mengejutkan mereka sekeluarga yang sebelum ini menyangka sakit kepala yang dialami anak gadis itu hanya berpunca daripada migrain.

Kini, selepas lima tahun disahkan mengalami ketumbuhan otak, anak bongsu daripada lima beradik itu masih sihat dan mampu tersenyum untuk meneruskan hidup.

Novel

Selain doa keluarga dan kecekalan remaja itu melawan kesakitan sepanjang tempoh itu, Rahimah sebenarnya menyimpan segala memori mengenai situasi pilu yang menguji keluarga mereka.

Menurut Rahimah, saat istimewa selama lima tahun menjaga anaknya yang menghidap ketumbuhan otak ingin dikongsi bersama orang lain.

Lantaran itu, ia diterjemahkan menerusi tulisannya di dalam sebuah novel. Novel itu ditulis untuk dia berkongsi pengalaman dan pengorbanan yang dilaluinya.

Dengan judul Diari Ummi Untuk Rafiqah, novel itu berjaya dicetak sebanyak 1,000 naskhah dengan perbelanjaan sendiri dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Buku tersebut merungkai kehidupan anaknya dan perjuangan mereka sekeluarga untuk memastikan penyakit itu bukan halangan untuk mengecap hidup bahagia.

Sakit kepala

Menceritakan penyakit yang dialami anaknya, Rahimah berkata, sebelum disahkan mengalami ketumbuhan pada otak, anak gadisnya itu sudah beberapa hari mengadu sakit kepala.

Bagaimanapun, ubat tahan sakit yang diambil dari sebuah klinik swasta di Kuala Terengganu, Terengganu itu gagal menghilangkan kesakitan tersebut.

Melihat keadaan Rafiqah yang semakin kritikal, Rahimah mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital kerajaan.

Selepas empat hari dirawat di hospital itu, akhirnya doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan di tengah-tengah otak yang menyekat pengaliran air.

Katanya, pengaliran air yang tersekat menyebabkan tekanan pada otak. Tekanan tersebut membuatkan kepalanya bertambah sakit.

"Perkara ini betul-betul di luar jangkaan kami sekeluarga dan saya tidak sangka sakit kepala yang dialami Rafiqah begitu serius.

"Penyakit migrain yang diberitahu doktor sebelum ini tidak benar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Chendering, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Radioterapi

Rahimah memberitahu, selepas mengetahui anaknya mengalami ketumbuhan otak, beliau bercadang untuk mendapatkan rawatan lanjut di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, atas nasihat seorang doktor, dia bersetuju untuk menghantar anaknya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan.




Ia adalah satu keputusan yang tepat kerana jika dia terus berada di Terengganu, mungkin Rafiqah akan mengalami kekejangan.

Katanya, jika pembedahan tidak dilakukan, anaknya bakal mengalami sakit kepala yang sangat teruk kerana ketumbuhan itu telah menyekat aliran air di dalam otaknya.

Bagaimanapun, ketumbuhan itu tidak boleh dibuang kerana ia berada di tempat yang sensitif dan doktor mencadangkan supaya dia menjalani rawatan radioterapi.

"Rawatan radioterapi yang dilakukan sebanyak 29 kali berjaya memulihkan kesihatan anak saya tetapi rawatan itu meninggalkan kesan ketara.

"Rawatan radioterapi itu menyebabkan sejenis air seperti air liur keluar dari mulut anak saya dalam kuantiti yang banyak," katanya.

Menurut Rahimah, belaian kasih sayang dan semangat tidak pernah putus asa antara faktor yang membantu Rafiqah bertahan sehingga ke hari ini.

No comments:

Post a Comment