06 June 2010

Suami enggan kongsi derita Oleh Siti Zarinah Sahib 2010/05/12.....Harian Metro

Berapa lama tak dapat nak menulis di blog ni...Kesihatan tak mengizinkan...Enemia,kebelakangan ni makin menjadi2....makin kerap pening,mata makin kabur...Cuba gagahkan juga...badan macam terhuyung hayang,kepala rasa kosong.Kuatkanlah semangat dan hati ni...untuk dilawan segala sakit,segala ketidak upayaan badan....Banyak yg nk dikongsikan di sini sebenarnya....berbagai peristiwa dan kisah......terima kasih buat kak siti harian metro kerana membantu saya......


SUDAH jatuh ditimpa tangga, begitulah diibaratkan ibu tunggal tiga anak yang diceraikan suami kedua lantaran dia menghidap penyakit saraf (Guillan Barre Syndrome).

Penyakit berkenaan membabitkan keadaan lumpuh separuh badan, enemia dan usus terlalu nipis serta kemungkinan besar akan hilang deria penglihatan.


Dengan kemampuan yang sangat terbatas, Haryani Mat Hussin, 30, tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengharapkan ibu yang bertugas sebagai guru. Malangnya sejak setahun lima bulan lalu, ibunya menghidap penyakit 'ketidaktentuan kebimbangan' yang menyebabkan dia sukar tidur. Justeru dia tidak boleh tertekan kerana akan menyebabkan penyakitnya datang semula. "Ini menyebabkan ibu saya tidak mampu bergerak dan hanya terlantar saja. Mujur ketika itu masih sihat, jadi saya menghantar dan mengambil anak ke sekolah serta melakukan kerja rumah," katanya yang berasal dari Kelantan.


Menurut Haryani, kesakitan yang dialaminya bermula sejak tiga tahun lalu iaitu selepas melahirkan anak ketiga. "Selepas habis pantang saya langsung tidak boleh makan serta mengalami gastrik yang teruk. "Doktor memberitahu usus semakin menipis menyebabkan saya langsung tidak boleh makan makanan keras, cuma bubur dan air. Kemudian saya diserang anemia sehingga dimasukkan dua pain darah dan terpaksa ditahan di wad," katanya.


Selepas pulang ke rumah, keadaan Haryani semakin teruk. Dia tidak boleh berjalan disebabkan kedua-dua kakinya yang sangat lemah. Apabila duduk dia mengambil masa yang sangat lama untuk bangun. Selepas seminggu, Haryani sekali lagi dimasukkan ke hospital dan doktor pakar memberitahu dia menghidap penyakit saraf yang sangat serius disebabkan lambat mendapatkan rawatan. "Saya akui dengan sumber pendapatan tidak seberapa, tidak mampu mendapatkan rawatan doktor pakar. Tetapi kerana tidak tahan dan tidak sanggup menanggung kesakitan, saya menggunakan duit simpanan ibu serta pinjaman adik-beradik berjumlah RM9,000 untuk 12 hari rawatan. "Kos ubat-ubatan sangat tinggi. Satu botol ubat saraf berharga RM300 dan saya memerlukan lapan botol untuk lima hari rawatan. "Dengan jumlah yang semakin bertambah serta perbelanjaan harian, persekolahan dan rawatan ibu, memang saya tidak mampu. Itu pun saya sudah menggunakan semua hasil simpanannya," kata Haryani sayu. Doktor pernah mencadangkan Haryani menjalani rawatan mencuci darah disebabkan dia tidak boleh terlalu bergantung kepada ubat sepenuhnya kerana usus yang semakin menipis, namun dia tidak sanggup menanggung risiko. Bagi Haryani dia sanggup menanggung kesakitan di rumah dan apabila sudah tidak tahan barulah ke hospital. Sudah beberapa kali Haryani mengunjungi Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Pusat Zakat untuk mendapatkan bantuan, tetapi sehingga kini, dia masih tidak mendapat sebarang jawapan. Dia juga sudah penat turun naik tangga, namun hasilnya tiada. "Mungkin mereka ingat saya mampu bekerja disebabkan masih muda serta boleh berjalan. Tetapi itu dulu, sekarang dengan duit simpanan yang semakin berkurangan, ibu terlantar sakit, kaki yang lumpuh menyebabkan saya amat memerlukan bantuan kewangan untuk menyara ibu, tiga anak serta kos rawatan saya. Suami pula langsung tidak memberi nafkah," katanya yang melalui dua kali perkahwinan namun kedua-duanya tidak menemui kebahagiaan. Menurutnya, perkahwinan kali pertama ketika dia berusia 18 tahun atas pilihan keluarga. Mereka dikurniakan dua anak iaitu Nuraliya Erissha, 12, dan NorIkhtisam, 7. Namun harapkan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari, kebahagiaan yang didambakan namun penderitaan yang diperoleh. Haryani terpaksa reda dengan perpisahan.


Kemudian Haryani dipertemukan jodoh dengan suami kedua yang tiga tahun lebih muda daripadanya. Perkahwinan ini juga diatur keluarga.


"Pada mulanya kami bahagia, namun selepas melahirkan anak pertama, Noraiman yang kini berusia tiga tahun, saya terus jatuh sakit. Lebih malang suami menceraikan saya kerana tidak sanggup menjaga saya yang sedang terlantar sakit. Malah selepas itu bekas suami tidak pernah memberi nafkah cuma suami pertama sahaja, itu pun ketika awal perceraian," katanya. Kini penglihatan Haryani semakin kabur. Malah keadaan kakinya masih seperti dulu, tidak boleh bergerak. Dia tidak tahu sampai bila mampu bertahan, namun dia sentiasa berdoa Tuhan memanjangkan usianya. "Hidup saya kini hanya untuk anak-anak sahaja. Selagi saya masih bernafas, saya akan berusaha untuk membesar dan menyekolahkan mereka walau dengan apa cara sekali pun. Saya tidak sanggup berpisah dengan mereka kerana anaklah penguat semangat saya selama ini. "Bagi menambah rezeki, saya berjinak-jinak menjual selimut dan cadar dewasa. Saya berharap hasil penjualan ini sedikit sebanyak dapat digunakan untuk perbelanjaan harian," katanya. Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, boleh menghubungi Haryani di talian 017-6188691.


9 comments:

  1. akak, sayunya saya baca kisah akak..sy percaya akak sorang sangat tabah kan..dan satiap orang tu diuji dengan pelbagai cara..sesungguhnya Allah sayangkan kita sebb itu kita diuji dengan pelbagai cara..

    ReplyDelete
  2. Harap awak terus tabah & redha dengan apa jua ujian yg mendatang ini

    ReplyDelete
  3. sabar alia..bantuan allah pasti datang

    ReplyDelete
  4. Dugaan ini memang berat utk ditanggung namun percayalah
    bahawa setiap yg berlaku ada hikmahnya. Dibulan ramadan
    ini kita perbanyakkan berdoa agar dipermudahkan segala
    urusan dan diringankan segala bebanan.. insyaAllah.. akan
    membantu sdaya yg mampu... Baca doa Yunus setiap kali diri
    tidak tenang..

    ReplyDelete
  5. salam alia..
    hari ini,dalam emel kompeni juga saya tgk risalah ttg awak diedarkan.semoga dipermudahkan dan harap alia tabah.doa saya sentiasa ada utk alia dan anak2.

    ReplyDelete
  6. berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.. Kuatkan lah semangat demi anak-anak. insyaAllah ada jalannya. ya Allah, permudahkanlah urusan saudara kami ini di duniamu.Amin..

    ReplyDelete
  7. Saya tak rasa mcam mana awak rasa, tp saya pasti Allah sedang mguji Alia kerana Allah sgt tahu Alia mampu mghadapi ujianNya. Semoga segala masalah dan ujian ini dipermudahkan. Semoga kesihatan Alia semakin bertambah baik. Aamiin

    Jangan berhenti berharap kepadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. :)

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum,
    Semoga puan tabah.
    Insha allah, masih ramai insan mulia.
    Semoga lebih ramai lain insan2 mulia ni membantu.

    ReplyDelete
  9. Berat mata memandang. ..berat lg bahu yg memikul. Doa sy agar puan dimurahkan rezeki, diberi kesihatan dan kekuatan menempuh ujian ini.

    ReplyDelete