Mari kita nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh Allah SWT. Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus. Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada sebab dan mempunyai hikmah. Kita hanya perlu bersyukur jika diberikan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah. Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah reda, bersyukur dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)
Allah meletakkan kepentingan sabar sebagai asas dalam menghadapi ujian dan malapetaka. Firman-Nya disebutkan, Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Al-Baqarah: 45).
Ujian membuktikan kekuatan manusia dalam berhadapan dengan keadaan tersebut. Malah tingkat ujian berbeza menurut kemampuan seseorang Dugaan datang bersama hikmah. Ia memerlukan masa untuk manusia memperhalusi sebab dan punca sesuatu perkara. Ujian dan dugaan menjadikan diri sentiasa menghargai apa yang sudah dimiliki. Ia mengingatkan manusia agar tidak cepat lupa dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.
Nasihat sabar dalam keimanan adalah kata-kata terbaik yang perlu diungkapkan dengan mengingatkan mereka tentang perjalanan penuh cabaran manusia-manusia bergelar nabi dan rasul pilihan Allah, sebagaimana disebutkan dalam surah al-Asr ayat 1 hingga 4: Demi masa. Sesungguhnya manusia di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berwasiat dengan kesabaran.
Bertabahlah wahai hati..............