22 July 2011

Kasih Sayang Allah Kepada HambaNya

Seandainya manusia ingin menghitung nikmat-nikmat pemberian Allah swt, maka mereka tidak akan mampu menghitungnya. Sekalipun air laut dijadikan tinta, seluruh ranting kayu dijadikan pena dan dedaun pokok yang ada di muka bumi ini dijadikan kertasnya, maka ia tidak akan pernah selesai. Betapa besar dan banyak nikmat yang Allah swt kurniakan disekeliling kita.

Tetapi kita sering lupa dan lalai untuk bersyukur kepada yang Maha Memberi. Malah kita membalas dengan menggunakan nikmat-nikmat itu untuk melakukan maksiat kepadaNya. Kita lupa dunia ini hanya pinjaman sementara.

Ketika kita melangkah kaki keluar, menghayunkan tangan, menghirup udara yang segar dan menikmati cahaya matahari yang terang dan bersinar, pernahkah kita terfikir dari mana datangnya semua nikmat-nikmat ini?

Sekiranya Allah swt mengarahkan semua kemudahan dan nikmat yang diberiNya kepada kita harus di bayar menggunakan wang, berapa banyak yang harus kita keluarkan untuk membayar semua itu?

Tepuk dada tanya iman.




Kita sering lupa dan melupakan apa yang kita miliki. Sebaliknya selalu memikirkan bagaimana untuk mendapatkan apa yang kita belum miliki. Mungkin kita harus bertanya soalan ini kepada diri sendiri:

"Mahukah aku kalau ada orang mahu membeli sepasang mataku dengan jutaan ringgit?".

"Mahukah aku tukarkan kedua-dua belah tangan ku ini dengan emas yang bertan-tan?"

Dan bahagian-bahagian tubuh kita yang lain. Hati, buah pinggang, jantung, dan lain-lain?

Siapakah yang mahu menukar hidupnya dengan seluruh harta benda duniawi?

Ingatlah, hidup ini sendiri adalah nikmat dari Allah swt.

Firman Allah yang bermaksud; "Maka nikmat Allah yang mana lagi yang kamu dustakan?"

InsyaAllah, semoga kita sama-sama dapat renungkan. Mari kita terus bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah dan terus sabar mengahadapi ujianNya sebelum kita kehilangan nikmat pemberian Allah ini.

21 July 2011

Fitrah setiap kelahiran

Dipetik dari I LUV ISLAM.COM

Marilah kita sama2 renungkan...Fitrah setiap kelahiran...Anak2 bukan satu bebanan tapi anugerah dan amanah dari Allah Taala.

Anak adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa untuk mendidik dan mengasuh mereka supaya menjadi insan berguna. Zuriat bukan sekadar penyambung warisan tetapi bukti kekuasaan Allah. Anak anugerah Allah yang amat istimewa bagi suami isteri dalam kehidupan berumahtangga. Malah, setiap pasangan berkeluarga memang impikan anak untuk menyerikan institusi rumah tangga mereka. Itu sudah menjadi satu keinginan semula jadi yang Allah ciptakan dalam sudut hati setiap manusia.

Fitrah Yang Suci

Islam tidak pernah mengatakan ada dosa yang dibawa oleh bayi sejak lahir walaupun anak itu adalah anak luar nikah. Ini kerana setiap bayi dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah dan putih bersih serta suci daripada sebarang dosa. Akan tetapi, dalam Islam dosa itu mula mencemari kesucian hati seseorang apabila dia meninggalkan perintah Allah dan melanggar segala larangan-Nya. Perlu ditegaskan, kelahiran seorang anak yang diharap akan menyambung warisan kekeluargaan sebenarnya mengungkap banyak makna dan pengertian yang tersurat sebagai bahan renungan untuk menginsafkan kita sebagai hamba Allah.

Pertamanya, kelahiran anak sudah memadai sebagai bukti paling mudah mengisyaratkan kekuasaan dan keagungan Allah mengatasi segala-galanya di alam maya ini. Sebelum lahirnya anak itu melalui pelbagai peringkat yang berbeza di alam rahim selama sembilan bulan 10 hari sehingga tercipta seorang manusia yang sempurna kejadiannya.

Semua itu diceritakan Allah dalam firman-Nya:

لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ۬
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya." - [Surah Al-Tin 95: Ayat ke 4]

Namun, di sebalik kesempurnaan sifat manusia sebenarnya daif dan kerdil kerana sentiasa bergantung harap kepada Allah. Oleh sebab itulah, setiap insan diwajibnya beriman kepada Allah untuk menikmati kesejahteraan di dunia dan akhirat di bawah keredaan Ilahi.

Kedua, anak adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa. Justeru, lahirnya seorang anak bukannya sebagai satu keseronokan hidup atau satu bebanan yang tidak tertanggung. Sebaliknya, anak adalah ujian Allah kepada ibu bapa.

وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَآ أَمۡوَٲلُڪُمۡ وَأَوۡلَـٰدُكُمۡ فِتۡنَةٌ۬ وَأَنَّ ٱللَّهَ عِندَهُ ۥۤ أَجۡرٌ عَظِيمٌ۬
"Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar."- [Surah Al-Anfal 8: Ayat ke 28]

Setiap ibu bapa berkewajipan mendidik dan mengasuh anaknya. Tetapi malangnya, sejak akhir-akhir ini jumlah bayi dilahirkan akibat perzinaan terus meningkat dan lebih menyedihkan, ada antara mereka dibuang dan didera sehingga menemui ajal.

Maka, tidak hairan Al-Sheikh Muhammad Qutb menganggap peristiwa berlaku dalam masyarakat Islam mutakhir ini ibarat kembali kepada zaman jahiliah terdahulu yang sanggup menanam hidup-hidup anak perempuan mereka kerana tidak sanggup menanggung malu.

Jadi tidak ada bezanya sama sekali antara perbuatan menanam bayi dan membuang anak dengan niat membunuh kerana kedua-dua perbuatan itu dilarang Allah.

Perlu diinsafi, mendidik dan mengasuh anak termasuk dalam ibadah kerana setiap ibu bapa akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dilakukan anaknya. Lebih-lebih lagi anak itu umpama helaian kertas putih yang belum diwarnai dan dicorakkan lagi.

"Maka ibu bapalah yang akan mencorakkannya berdasarkan cita rasa masing-masing. Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya." - [Hadis riwayat Bukhari]

Anak sebagai amanah Allah perlu diberi perhatian supaya mereka menjadi insan bertakwa dan berguna kepada agama, bangsa serta negara. Alangkah beruntungnya ibu bapa memiliki anak soleh yang doanya berterusan kepada kedua ibu bapanya. (Sumber)

Sebenarnya dalam Islam seorang anak adalah penawar kepada ibu bapanya terutama semasa tuanya. Jadi, ibu bapa tidak perlukan wang anak-anaknya apatah lagi kalau anak-anak mereka itu miskin. Tetapi yang diperlukan ialah kasih sayang dan belaian daripada anak-anak. Sesungguhnya anak yang membelanjakan wang pendapatannya untuk membeli ubatan dan makanan untuk ibu bapanya, sesuatu yang baik dan seharusnya dikekalkan, tetapi mereka juga perlu pulang untuk melihat wajah ibu bapa. Tatapan wajah antara anak dan ibu bapa boleh mengurangkan sebahagian penderitaan rindu mereka.

Oleh sebab itu, mereka yang mempunyai ibu bapa di kampung apatah lagi yang sakit, eloklah pulang melihat wajah mereka. Jika anak pernah terasa hati terhadap ibu bapa, lupakan dahulu dan kalau perlu maafkan mereka berdua. Sikap anak dalam keadaan itu akan menyembuhkan sakit yang dialami oleh kedua-duanya.

Menyedari keadaan ini, mana-mana anak yang tidak mendapat didikan yang betul sehingga mereka tersesat, harus kembali ke pangkal jalan. Tidak perlu salahkan ibu bapa, sebaliknya bertaubat kepada Allah. Kesedaran anak ini sekaligus dapat menginsafkan ibu bapa mereka.

Sebenarnya berdasarkan huraian di atas, maksud fitrah ialah agama Islam, yang setiap anak-anak yang dilahirkan "rohnya" telah mengiktiraf Allah sebagai tuhannya.

Jika umat Islam menyedari kedudukan ini sudah pasti ibu bapa tidak akan mengkhianati amanah Allah itu. Sudah tentu dia akan mendidik anaknya mengikut panduan Islam supaya keislaman anaknya sejak kecil itu tidak dirosakkan. (Sumber)

Photo by:Sakinah Hawa

Aset Yang Sangat Bernilai Untuk Mendoakan Kita Setelah Mati

Anak-anak merupakan aset yang tidak ternilai sekaligus amanah kepada ibu bapa. Kadangkala, gelap atau cerahnya masa depan anak-anak menjadi ukuran kepada kejayaan sesebuah rumahtangga. yang pastinya, setiap ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

Percayalah, anak-anak yang mendapat didikan sebegini tidak akan menganggap ibu bapa sebagai aset yang penting. Oleh sebab itu mereka boleh kirim wang untuk ibu bapa terutama semasa mereka sakit, tetapi mereka tidak sanggup pulang melihat kedua-duanya di kampung.

Sungguhpun begitu, anak-anak tersebut tidak boleh disalahkan kerana mereka tidak pernah diajar erti kasih sayang oleh ibu bapa. Tatkala anak-anak dibesarkan, ibu bapa tidak mendidik mereka supaya tahu menghormati perasaan orang lain, apatah lagi ibu bapanya.

Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami) dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa (bayi) kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga dia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh) dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.
Surah Al-Hajj 22: Ayat Ke 5
Kesihatan yang tidak menentu membataskan segalanya.Masalah kekurangan darah merah,usus,berat badan yang makin menurun masih lagi tidak diketahui punca.Dah macam2 test yang dilakukan namun masih belum diketahui apa punca penyakit yang sebenarnya.Apa punca anemia.Cuma bone marrow test belum dilakukan.Rasa macam dah tak sanggup nak lakukan test2 lagi.Tapi jika tak buat,tak tahu punca anemia.Hati ni resah dan buntu bila fikirkan masalah kesihatan tapi saya redha di atas semua ni..Walau mengeluh atau menangis air mata darah,tak akan dapat mengubah apa2..

Anak2 kekuatan diri dan semangat untuk meneruskan perjuangan.Cuba gagahkan diri,mata yang kadang2 kabur dan tak boleh melihat cahaya yang terang,badan yang lemah dan kadang terhuyung hayang tapi ingin mencari kekuatan.Semoga beroleh kekuatan yang luar biasa untuk meneruskan perjuangan yang amat hebat..Persepsi dan tohmahan sering menguji kekuatan diri.Semangat yang dipinta tapi tohmahan yang dapat.Dugaan dalam meniti satu perjuangan..


15 July 2011

Perit dan Jerih


Setiap orang pasti mengalami saat yang memerihkan...apatah lagi memeritkan,tentu sekali mendatangkan kesan yang amat pedih di hati.Ibarat bom jangka yg menanti untuk meletup bila-bila masa.Walau tika melalui ujian yg maha hebat,masih ada segelintir insan-insan yg masih belum merasa puas untuk terus melihat insan-insan yg sedang bertarung dugaan sebegini agar terus jatuh dan tersungkur.Adakah golongan ini merasa puas setelah melihat insan lain tersungkur.Memang benar setiap insan mempunyai hati dan 10 insan bermakna ada 10 hati yg berbeza namun kita sebenarnya hanya menuju pada satu jalan sahaja dan bila tiba masa kita melaluinya,..nescaya akan ada keberHASILan atas setiap apa yg kita kerjakan...HATI,....jika hati kita bersih..kita tidak akan mudah berprasangka negatif,tidak dinafikan kita berada di dalam zaman yg amat mencabar dan walaupun terdapat peribahasa yg berbunyi..........

IKUT HATI,MATI
IKUT RASA,BINASA

Namun jika kita rasa kita mempunyai hati yg bersih,hati kita sering terdetik pada sesuatu yg benar...maka peganglah pada kata hati kita kerana kata hati kita tidak sesekali akan mengkhianati kita...........

14 July 2011

Pandangan mata...


Pandangan Mata Selalu Menipu
Pandangan Akal Selalu Tersalah
Pandangan Nafsu Selalu Melulu
Pandangan Hati itu Yang Hakiki
Kalau Hati itu Bersih

Hati Kalau Terlalu Bersih
Pandangannya Kan Menembusi Hijab
Hati Jika Sudah Bersih
Firasatnya Tepat Kehendak Allah
Tapi Hati Bila Dikotori
Bisikannya Bukan Lagi Kebenaran

Hati Tempat Jatuhnya Pandangan Allah
Jasad Lahir Tumpuan Manusia
Utamakanlah Pandangan Allah
Daripada Pandangan Manusia.

13 July 2011

Hidup penuh pengorbanan
Pengorbanan perlukan perjuangan
Perjuangan perlukan ketabahan
Ketabahan perlukan keyakinan
Keyakinan pula menentukan kejayaan
Kejayaan pula menentukan kebahagiaan

Kadang kadang kita berdoa untuk kuat
tapi banyak pula dugaan yang datang
Kadang kadang kita minta cerdik
tapi masalah pula yang bertandang
Kadang kadang kita minta kebahagiaan
tetapi huru hara pula menjelang

Dugaan menjadikan mental kita kuat
masalah menjadikan kita befikir
huru hara menjadikan kita tabah

Subhanallah
Betapa hebatnya Allah
Semua aturannya ada hikmah yang tersembunyi

08 July 2011

Hati tabahlah menghadapi dugaan

Jangan Sesekali menyalahkan takdir bila diri mengalami kepayahan,kesusahan dan keperitan.Bersabarlah....

Kehidupan tidak pernah lekang dengan perkataan “dugaan”. Apabila datang dugaan dalam kehidupan,manusia sering kali mengeluh,tertekan dan sehingga sampai satu tahap hilang kawalan diri. Ketahuilah kalian bahawa seandainya dugaan itu kita terima dengan hati yang redha terlalu banyak hikmah dan manfaatnya disebalik dugaan yang menimpa diri.Seringkali diri ini juga lupa akan hakikat dan hikmah dugaaan itu sendiri. Firman ALLAH SWT dalam kitab hikmahNya:


“ Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”(
2:286)


Jadi,sangat jelaslah disini bahawa ALLAH SWT tidak pernah menimpakan suatu ujian,dugaan mahupun cabaran diluar batas kemampuan hamba ciptaanNYA. Siapa kita utk mengatakan ujian,dugaan dan cabaran itu diluar kemampuan kita kerana sesungguhnya yang menciptakan kita itu bukannya diri kita sendiri akan tetapi Tuhan sekalian alam iaitu ALLAH SWT. Sungguh DIA lebih mengenali diri kita daripada diri kita sendiri.


Jadi,tanamkanlah dalam diri mulai saat ini bahawa ujian ALLAH itu tanda kasih dan sayang dari ALLAH kerana itu bermakna ALLAH ambil tahu dan peduli dengan diri kita. ALLAH menguji kita sebenarnya adalah utk mengukur sejauh mana tahap iman kita sebenarnya. Hadapilah ujian dan dugaan dari ALLAH dengan keimanan,ketakwaan dan kesabaran. Moga-moga kita sentiasa berada dibawah payung rahmat,redha dan kasih sayangNYA. Mari sama-sama kita amalkan doa ini:


(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.(2:286)


Sama-samalah kita bina kekuatan di dalam diri kita, apabila bermacam-macam dugaan datang didalam hidup kita, kerana Allah dekat dengan kita dikala ujian itu datang, jika kita mengingati NYA.

Ajaibnya tangan IBU

Ketika kita lapar...tangan ibu yang menyuap,
Ketika kita haus...tangan ibu yang memberi minuman,
Ketika kita menangis...tangan ibu yang mengesat air mata,
Ketika kita gembira...tangan ibu yang menadah Syukur,memeluk kita erat dengan deraian air mata bahagia,
Ketika kita mengantuk...tangan ibu yang dodoikan dengan penuh kasih sayang,
Ketika kita mandi...tangan ibu yang meratakan air ke seluruh badan,membersihkan segala kekotoran,
Ketika kita dilanda masalah...tangan ibu yang membelai duka sambil berkata:Sabar nak, Sabar ye sayang.
Namun, Ketika ibu sudah tua & kelaparan...tiada tangan dari anak yang menyuap,
Dengan tangan yang menggeletar, ibu suap sendiri makanan ke mulut dengan linangan air mata,
Ketika ibu sakit...di mana tangan anak yang ibu harapkan dapat merawat kesakitan ibu?
Ketika nyawa ibu terpisah dari jasad...
Ketika jenazah ibu nak dimandikan... di mana tangan anak yang ibu harapkan untuk menyirami jenazah ibu buat kali yang terakhir.
Tangan ibu, tangan ajaib...
Sentuhan ibu, sentuhan kasih...
Boleh membawa ke Syurga Firdausi...
Ciumlah tangan ibu,
Sebelum ibu pergi bertemu Illahi & takkan kembali lagi

Nukilan Dato' Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood (Pendakwah & Pengacara Semanis Kurma TV9)

02 July 2011

Ada kemanisan di sebalik kesabaran dan ada hikmah di sebalik segala dugaan...

Tidak Semua Musibah Bererti Kemurkaan Allah

Wahai Ukhti Muslimah, musibah menurut Islam mempunyai makna serta pengertian yang luas. Tidak setiap musibah bererti kemurkaan daripada Allah, sebagaimana tidak setiap nikmat adalah ujian daripada Allah. Ini terserah kepada sejauhmana keimanan manusia menerimanya, betulkah ia seorang mukmin sejati atau hanya beriman di mulut sahaja. Firman Allah SWT yang bermaksud : Adakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan dengan berkata; " Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diberi cubaan? Dan sesungguhnya Kami telah mencuba orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta" (Al-Ankabut: 2-3)

Ayat tersebut bermaksud memberi penjelasan atas tanggapan salah sebahagian manusia bahawa mereka cukup dengan hanya berkata dimulut tentang keimanan mereka. Padahal pengakuan mulut itu bukanlah satu bukti bagi keimanan seseorang, tetapi mestilah melalui cubaan atau ujian. Umat-umat yang dahulupun telah dicuba Allah dengan pelbagai bentuk ujian, maka ketika itulah baru jelas siapa yang berkata bohong dan yang berkata benar. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Nescaya kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian dan kepada Kamilah kamu akan dikembalikan" (Al-Anbiya':35)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Luar biasa betul keadaan orang-orang yang beriman, semua urusannya adalah kebaikan. Tidak ada manusia yang menyamai orang yang beriman. Apabila ia beroleh kesenangan ia lalu bersyukur, maka ia mendapat balasan pahala. Apabila ia ditimpa musibah lalu ia bersabar, maka ia diberikan pahala." (HR. Muslim)

Wahai Ukhti Muslimah, kadangkala musibah yang menimpa seseorang itu adalah amaran jika ia melakukan dosa, supaya ia tidak berterusan dalam kemaksiatannya, sedar dan insaf seterusnya kembali kepada ajaran Islam, yakni patuh kepada Allah. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul kepada umat-umat sebelum kamu, kemudian Kami timpakan ke atas mereka penderitaan dan kemelaratan supaya mereka merendah diri." (Al-An'am: 42)

Ayat-ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah SWT telah mengutus Rasul-Rasul kepada umat-umat sebelum umat Muhammad, tapi mereka tidak mengendahkan seruan para Rasul itu. Maka Allah SWT menimpa kesusahan dan kesengsaraan ke atas mereka, supaya mereka insaf dan menyedari kesilapan mereka dan kembali kepada Allah SWT. Jadi musibah yang menimpa mereka itu bukanlah seksaan semata-mata tapi ia adalah amaran atau peringatan agar mereka jangan berterusan dalam dosa yang mereka lakukan.

Ujian Penghapus Dosa

Allah telah menjadikan musibah sebagai tanda untuk naik ke makam yang lebih tinggi, sekaligus menghapuskan dosa-dosa orang beriman dan sebagai sebab untuk mendapat ganjaran pahala yang besar. Ada beberapa hadith Nabi yang menyeru umat Islam supaya tahan berhadapan dengan musibah yang paling buruk kerana sebagai balasannya nanti di akhirat adalah pahala yang besar. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

" Semua yang menimpa orang Islam seperti keletihan, penyakit, kedukaan, kesedihan, kesakitan dan perkara yang tidak disukai, bahkan termasuk duri yang dipijaknya, melainkan sebagai gantinya Allah menghapuskan dosa-dosanya." (HR. Bukhari)

"Sesiapa yang dikehendaki Allah memperolehi kebaikan, mesti lebih dahulu mengalami musibah." (HR. Bukhari)

"Musibah-musibah yang berterusan menimpa orang miskin, sama ada menimpa dirinya atau anaknya atau hartanya, hinggalah pada akhirnya ketika ia bertemu dengan Allah tidak ada lagi dosanya. (HR. Tirmizi)

Rasulullah SAW pernah ditanya: Siapakah orang yang paling hebat menerima musibah? Baginda menjawab: "Para Nabi, lalu orang-orang yang yang ketaatannya mendekati para Nabi dan demikianlah seterusnya. Ujian yang diterima seseorang sesuai dengan tinkat imannya, jika imannya kuat, maka ujian yang diterimanya pula sukar, jika imannya lemah, maka ujian yang menimpanya sesuai dengan kelemahan imannya itu. Ujain demi ujian terus akan menimpa diri orang yang beriman, hinggalah segala dosanya diampuni. Sebab walau bagaimanapun hebatnya keimanan seseorang, pasti mereka ada melakukan dosa walaupun kecil".

Mengenai pahala yang akan diterima oleh orang-orang yang bersabar ketika menimpa musibah, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman: Jika Au menguji hambaKu (membutakan) kedua-dua matanya, lalu ia sabar maka Aku akan mengantikan baginya gengan syurga". (HR. Bukhari)

Orang-orang yang sabar dalam menerima musibah telah dijanjikan Allah SWT akan mendapat pahala yanng besar. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, " Dan sesungguhnya Kami pasti mencuba kamu dengan rasa takut, lapar, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan gembirakanlah orang-orang yang sabar, yakni orang yang jika mengalami musibah, mereka berkata, sesungguhnya kami milik Allah dan akan kembali kepadaNya. Mereka itulah orang-orang yang beroleh keberkatan dan rahmat Tuhan dan diberi petunjuk." (Al-Baqarah: 155-157)

Wahai Ukhti Muslimah, terdapat tiga berita gembira yang ditunjukkan Allah kepada orang-orang yang sabar iaitu:

  • Beroleh ampunan dari Allah
  • Beroleh rahmat dari Allah
  • Dimasukkan Allah ke dalam golongan orang yang beroleh petunjuk (hidayah).

Di dalam Al-Quran Allah SWT telah mengajar kita supaya mengucap kalimat "Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raji'un" ketika mengalami musibah. Disunatkan mengucapkan kalimat tersebut setiap kali ditimpa musibah, dari yang paling besar hinnga musibah terkecil, seperti terpijak duri dan sebagainya.

Dalam tujuan yang sama sebuah hadith Rasulullah SAW telah menjelaskan yang bermaksud: Tiada seorang muslim yang ditimpa musibah lalu membaca ayat yang diperintahkan Allah SWT "Inna Lillahi Wa Inna Illaihi Raji'un, Allahumma ajirni fi mushibati wakhluf li khairan minha" (Sesungguhnya Kami milik Allah dan akan kembali kepadaNya, ya Allah berilah pahala atas musibah ini dan tukarkanlah dengan yang lebih baik daripadanya) melainkan Allah SWT memberikan pahala dan menukarkan dengan yang lebih baik baginya." (HR. Muslim)

Bacaan tersebut mengandungi penawar bagi apa juga bentuk musibah jika diamalkan dan dihayati sepenuh jiwa kerana didalamnya terkandung pengakuan yang penting terhadap dua hal:

> Pengakuan diri sendiri, anak, suami, isteri dan seluruh harta adalah milik Allah SWT. Seseorang tidak memiliki semuanya itu melainkan atas dasr amanah yang diberikan kepadanya oleh Allah SWT.

> Akhir semua manusia adalah kepada Allah SWT samada cepat atau lambat, yang pasti manusia diciptakan ia tidak mempunyai apa-apa, tiada keluarga dan harta. Maka seperti itu jugalah kelak ketika manusia bertemu dengan Tuhannya. Jika ada yang mendampinginnya, maka itu adalah amalnya ketika di dunia. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesungguhnya kamu datang menemui Kami bersendirian sebagaimana Kami ciptakan kamu juga sendiri-sendiri dan kurnia yang Kami berikan itu akan tinggal di dunia." (Al-An'am: 94)